Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas temubual eksklusif di kediamannya di Marang, Terengganu. foto AFFAN FAUZI, 23 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abd. Hadi Awang menegaskan parti itu tidak ketandusan pemimpin untuk meneruskan perjuangan selepas ketiadaannya.

Pemimpin berusia 74 tahun itu berkata, perlu diingat yang teguhnya Pas bukan kerana tokoh-tokoh yang menerajui parti itu.

Sebaliknya, Abd. Hadi berkata, selagi Islam menjadi teras kepada perjuangan parti berkenaan dan dasar parti itu dilaksanakan dengan bijak, fleksibel dan ahli-ahlinya tidak lari daripada prinsip, parti itu akan terus kekal dan relevan.

“Mengenai persoalan siapa selepas saya, perlambangannya beginilah… kita hanya melihat sebuah kapal itu cuma dari jauh, tetapi tahukah kita di dalamnya penuh dengan kelasi, kapten dan sebagainya.

“Naiklah kapal itu dulu, baru kita tahu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette semalam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. foto AFFAN FAUZI, 23 SEPTEMBER 2020

Abdul Hadi mula aktif dalam Pas sejak tahun 1964 dan dilantik menjadi pemangku Naib Yang Dipertua Pas Pusat pada tahun 1978.

Pada tahun 1989, beliau dipilih menjadi Timbalan Presiden Pas sebelum dilantik memangku jawatan Presiden Pas berikutan kematian Datuk Fadzil Mohd Noor.

Beliau menjadi Presiden Pas selepas disahkan di dalam muktamar pada tahun 2005.

Dalam Muktamar Tahunan Pas ke-61, buat pertama kalinya beliau dicabar untuk jawatan Presiden Pas oleh Ustaz Ahmad Awang.

Bagaimanapun, beliau berjaya mengalahkan Ahmad dengan majoriti 695 undi. – Malaysia Gazette