Gambar hiasan

BULAN Oktober 2020 ini pengukur kepada keupayaan diri kita dalam pengurusan
kewangan. Sama ada kehidupan kita makin tertekan, atau tiada apa-apa berlaku,
atau pun lebih bertambah baik.

Ini kerana bermula Oktober ini, ‘tongkat’ dari Kerajaan Pusat telah di buang dari diri
kita. Masing-masing terpaksa berdiri dan berjalan menggunakan keringat sendiri.
Moratorium yang diperkenalkan oleh pihak Kerajaan Pusat sejak bulan April lalu.

Tujuan kerajaan bukan untuk memanjakan kita, namun ia bagi membantu kita
semua berhadapan saat-saat getir membendung wabak pandemik Covid-19.

Ramai yang begitu terkesan dengan tindakan prihatin oleh Kerajaan Pusat ini.
Dengan jumlah keseluruhan moratorium yang mencecah RM43.7 bilion, 65 peratus
atau RM28.4 bilion daripadanya telah dimanfaatkan oleh rakyat negara ini.

Namun setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya. Sebagai rakyat yang
bertanggungjawab dan berilmu, kita harus berpegang kepada peribahasa Melayu
yang berbunyi ;

“Ingat ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencocok, duri yang
akan mengait”

Peribahasa berkenaan mengajar kita agar sentiasa beringat tentang segala bahaya
dan rintangan atau risiko ketika mengambil sesuatu keputusan.

Kaitan dengan moratorium ini pula adalah mengenai tahap kesiapsiagaan kita
sendiri untuk kembali ke ‘dunia realiti tanpa tongkat’ seperti sebelum ini. Ramai
orang kata jika sebelum ini pernah berbelanja sekian, sekian banyak, maka tidak
ada masalah besarlah untuk perbelanjaan kita bermula 1 Oktober 2020 ini.

Namun kita harus ingat, dikala negara sedang berhadapan dengan Covid-19 yang
makin aktif kembali ini, corak ekonomi dalam negara kita agak sedikit berbeza.
Masih ramai dalam kalangan kita yang punya komitmen sama, dengan pendapatan yang
sudah berbeza.

Bukan kita saja yang terjejas, negara-negara lain seluruh benua turut terkesan
dengan pandemik Covid-19 ini, sekaligus, kerancakan ekonomi di seluruh dunia
sekarang dalam graf mendatar. Lebih malang lagi, ada negara yang merudum teruk
hingga mengakibatkan penduduk di negaranya hidup sengsara berbanding sebelum
ini.

Bagi mereka yang berada dalam sektor tidak terjejas kepada pandemik, mungkin
mereka juga ada cabaran berbeza. Melalui amalan Norma Baharu yang diwajibkan
keatas kita saat ini, pelbagai perkara yang sebelum ini jarang dilakukan terpaksa
menjadi rutin harian. Dalam banyak-banyak rutin itu, sudah pasti ada yang
memerlukan pertambahan kos atau perbelanjaan.

Walau apapun yang terjadi, moratorium ini mengajar kita akan sikap diri sendiri.
Ayuh kita kembali ke masa terdahulu sekejap, semasa Kerajaan Pusat
mengumumkan pemberian moratorium kepada kita semua, apa tindakan pertama
yang kita ambil?

Fakta telah menceritakan bahawa, ramai dari kalangan rakyat kita berpusu-pusu
menggunakan lebihan wang yang ada untuk membeli belah atas talian. Sebab
itulah, industri e-dagang dan e-hailing sekitar bulan Mac hingga Mei 2020 melonjak
naik tanpa disangka-sangka.

Penuh di jalan raya pada waktu itu dengan kenderaan e-hailing yang bergerak ke
sana sini. Siapa kata ini salah? Tidak salah pun untuk membeli menggunakan
perkhidmatan atas talian, namun yang salahnya apabila kita boros tak ingat dunia.

Orang sebegini akan mula ‘naik angin’ apabila Kerajaan Pusat menolak cadangan
agar moratorium dilanjutkan sehingga Disember 2020. Rasanya sama sahaja, jika
dilanjutkan sehingga Disember sekali pun, situasi yang sama akan berlaku pada 31
Disember 2020.

Siapa yang tidak mahu jika kita ada lebihan wang dalam akaun bank atau poket
sendiri. Namun, dalam keperitan dan kepahitan ini kita perlu berhadapan juga
dengan realiti semasa. Kita terpaksa melihat sendiri bagaimana baki wang yang ada
dalam akaun bank kita pada bulan Oktober 2020 ini akan berkurang dengan
mendadak.

Sama-samalah kita redho dengan perkara ini. Jangan diikutkan hawa nafsu dan
keinginan yang melampau itu. Jika kita terpaksa ‘ikat perut’ sedikit sebelum mampu
menyesuaikan diri kembali, maka buatlah dengan penuh sabar dan berilmu.

Bagi mereka yang beragama Islam pula perlu sentiasa bergantung harap kepada
Allah Yang Maha Pemberi Rezeki. Jangan dianggap wang yang ada dalam akaun
bank kit aitu sebagai Tuhan yang patut disembah. Yakinlah bahawa ini semua
kehendak Tuhan terhadap kita. Dalam Islam, andai kita benar-benar yakin kepada
Dia, maka kita akan mendapat keuntungan.

“Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan
Allah jualah yang menanggung rezekinya.” (Surah Hud, ayat 6).

Siapa taknak untung?

Sarfarizmal Bin Md Saad
Wilayah Persekutuan Putrajaya