Dr. Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Kegiatan aktiviti ekonomi Malaysia yang kembali aktif merupakan tanda pemulihan digambarkan melalui petunjuk makroekonomi pada bulan Julai.

Senario ini dapat dilihat dengan peningkatan jumlah tenaga kerja iaitu 15.82 juta orang pada bulan Julai 2020 daripada 15.76 juta orang pada bulan sebelumnya dan kadar pengangguran turun kepada 4.7 peratus berbanding 4.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Nilai jualan bagi sektor pembuatan meningkat kepada RM119.3 bilion pada bulan Julai, yang meningkat 2.1 peratus bagi bulan ke bulan.

Perdagangan borong & runcit juga menunjukkan pemulihan pada bulan Julai dengan menjana nilai jualan pada RM108.7 bilion pada pertumbuhan 5.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Pertumbuhan jualan yang lebih baik bagi subsektor ini, disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor berikutan strategi yang efektif dari kerajaan ke atas pelepasan cukai sebelum ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dari segi perdagangan barangan Malaysia bagi Julai 2020 telah mencatat peningkatan jumlah perdagangan sebanyak RM159.9 bilion berbanding RM144.7 bilion dari bulan sebelumnya, yang mana eksport meningkat sebanyak 11.7 peratus sementara import meningkat 8.7 peratus.

Dari segi tahun ke tahun, eksport meningkat sebanyak 3.1 peratus sementara import terus menyusut pada bulan Julai 2020.

Pada bulan Ogos, eksport dan import mencatatkan penyusutan namun imbangan perdagangan kekal merekodkan lebihan dagangan.

Menurut beliau, peranan sektor pelancongan dalam ekonomi sangat penting memandangkan aktiviti berkaitan dengan pelancongan meliputi 23.6 peratus pekerjaan serta menyumbang 15.9 peratus atau RM240.2 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2019.

Tambahan pula, kerajaan telah mengumumkan inisiatif pelancongan bagi meningkatkan aktiviti promosi yang menarik oleh agensi pelancongan dan; industri hotel dan penginapan, di mana ia akan menyokong serta ‘menghidupkan’ semula aktiviti pelancongan domestik bagi tahun 2020.

Secara keseluruhannya, Mohd Uzir memaklumkan prestasi makroekonomi pada Julai telah memberikan petunjuk awal bagi suku ketiga 2020 yang dijangka lebih baik berbanding suku kedua, memandangkan pakej rangsangan ekonomi yang berterusan menyokong pertumbuhan ekonomi keseluruhannya.

Ini sejajar dengan Indeks Pelopor yang menunjukkan pemulihan ekonomi dalam waktu terdekat serta prospek ekonomi yang lebih cerah menjelang 2021. – MalaysiaGazette