Dengan lulusnya Belanjawan 2021 semalam, pembangkang perlu memainkan peranan yang konstruktif dan membantu kerajaan dalam usaha memerangi Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat.- Gambar hiasan.
PULAU PINANG – Kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi pilihan raya negeri telah membunyikan amaran pilihan raya buat parti-parti politik.

Kwong Wah Yit Poh melaporkan, DAP menjangkakan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengambil tindakan politik yang signifikan menjelang persidangan Parlimen pada 2 November.

Bendahari DAP Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, Parlimen akan bersidang bermula 2 November sementara 6 November akan menyaksikan pembentangan bajet pertama oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Katanya, pembentangan bajet akan disusuli dengan lebih 20 undian untuk meluluskan peruntukan untuk setiap kementerian.

“Jika pembangkang yang diterajui Pakatan Harapan (PH) melakukan serangan, Perikatan Nasional perlu menghadapi lebih 20 kali serangan bertubi-tubi dalam undian yang akan dijalankan.

“Perikatan Nasional akan berdepan satu dilema jika terdapat rang undang-undang yang tidak diluluskan. Jika bajet tidak diluluskan, maka ia adalah sama seperti undi tidak percaya ke atas Perikatan Nasional,” katanya.

Hon Wai yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, DAP justeru melihat Oktober dan November sebagai bulan signifikan kerana Perdana Menteri mungkin mengambil langkah politik pada tempoh masa tersebut.

Menurutnya, langkah berkenaan termasuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya kilat.

Hujahnya lagi, parti-parti politik sudah memukul gendang perang berikutan kejayaan GRS untuk menawan Sabah.

“Muhyiddin sebelum ini telah memberi bayangan bahawa pilihan raya kilat akan diadakan selepas kemenangan di Sabah.

“Jangan lupa bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa beliau menerima sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dan UMNO sedang bersikap kabur-kabur dalam soal ini.

“Semua keadaan ini akan mendorong Muhyiddin melakukan percaturan dan simulasi sebelum bermulanya persidangan Parlimen,” katanya.

Menurut Hon Wai, kekuatan dua kem adalah sekata dengan rekod 111 berbanding 109 dalam undi calon Speaker Dewan Rakyat sebelum ini.

“Dengan undian yang begitu intensif pada November, mampukah Perikatan Nasional mengekalkan jumlah wakil rakyat yang ramai secara siang dan malam dalam Dewan Rakyat?” – MalaysiaGazette