Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menjelang berakhirnya moratorium hari ini, cawangan Maybank di seluruh negara (kecuali yang berada di Zon Merah) akan terus beroperasi sehingga jam 7 malam hari ini untuk memberi kemudahan tambahan kepada pelanggan untuk bertanya dan memohon Bantuan Pembayaran Balik.

Maybank sekali lagi mengingatkan para pelanggannya yang terjejas akibat pandemik segera menghubungi bank itu sekiranya ingin memohon Bantuan Pembayaran Balik untuk pinjaman/ pembiayaan mereka.

Menurutnya, status CCRIS peminjam yang mengambil bantuan pembayaran balik tidak akan berubah.

Selain melanjutkan waktu operasinya, Maybank juga menawarkan 3 saluran mudah untuk memohon Bantuan Pembayaran Balik seperti berikut:
• Memohon secara dalam talian melalui Maybank2u (untuk pelanggan individu & Perniagaan Sewa Beli)
• Memohon melalui e-mel [email protected] (untuk pelanggan individu) atau [email protected] (untuk pelanggan PKS), dengan memberikan nama, nombor telefon, jenis pinjaman (contoh: Gadai janji, Sewa Beli, Pembiayaan Pinjaman Berjangka); Nombor kenderaan (untuk Sewa Beli), Status Pekerjaan, dan Sebab permohonan, atau
• Hubungi mana-mana cawangan kami, Pusat PKS atau Pusat Kewangan Auto (mana yang berkaitan) di seluruh negara.

“Maybank ingin memaklumkan kepada mereka yang telah memohon Bantuan Pembayaran Balik tetapi masih belum mendapat sebarang jawapan bahawa permohonan mereka sedang diproses, pihak bank akan berhubung dengan mereka secepat mungkin mengenai pembayaran pinjaman mereka untuk bulan Oktober dan seterusnya.

”Sementara itu, pelanggan yang tidak memohon untuk Bantuan Pembayaran Balik diingatkan meneruskan pembayaran untuk pinjaman / pembiayaan mereka mulai Oktober 2020,” katanya.

Mereka yang menjangka kesukaran untuk membayar ansuran bulanan mereka selepas moratorium masih dapat menghubungi bank untuk berbincang tentang pakej pembayaran balik untuk memenuhi keperluan kewangan semasa mereka.

Walau bagaimanapun, pelanggan ini disarankan untuk memohon bantuan pembayaran sebelum tarikh ansuran bulan Oktober untuk memastikan status kredit mereka dikekalkan. – MalaysiaGazette