Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan seramai 270 bekas pesakit bagi membantu kajian mengenai tindak balas antibodi neutralisasi kepada pesakit Covid-19 di Malaysia.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 260 kes baharu jangkitan kes Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan di Malaysia
sebanyak 11,484 kes.

Bilangan kes hari ini adalah kedua tertinggi yang pernah direkodkan di Malaysia.

Malaysia pernah mencatatkan kes Covid-19 tertinggi pada 4 Jun 2020 iaitu sebanyak 277 kes, yang mana 270 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

”Dengan 260 kes positif Covid-19 dicatat pada hari ini, ianya merupakan kedua tertinggi pernah dicatatkan di Malaysia setakat ini. Ini sememangnya angka yang merisaukan. Bilangan kes ketiga tertinggi pula dicatat pada 26 Mac 2020 iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1, iaitu sebanyak 235 kes,” kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berdasarkan kes hari ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,334 kes.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 260 kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan bukan warganegara mengembara dari United Kingdom.

Kes itu dilaporkan di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Daripada 259 kes penularan di dalam negara, 130 kes adalah warganegara Malaysia dan 129 kes adalah warga asing.

Menurutnya, daripada 259 kes tersebut juga, sebanyak 31 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah, sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 119 kes.

Sehingga kini, terdapat 20 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), yang mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan. Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 136 kes (1.18 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

”Jika dilihat pada peningkatan kes mutakhir ini, ianya tertumpu di dua buah negeri iaitu Sabah dan Kedah. Namun kini terdapat juga kes-kes dan kluster-kluster baharu yang dikesan di negeri-negeri yang lain.

”KKM mengambil maklum pengumuman hari ini oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah yang akan berkuatkuasa mulai jam 12.01 malam 3 Oktober 2020 sehingga 16 Oktober 2020.

”Pada masa yang sama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuatkuasa seperti biasa,” katanya.

Beliau berharap pendekatan yang lebih agresif ini akan membantu mengawal situasi penularan COVID-19 di negeri Sabah.

Pada masa yang sama, KKM dan agensi-agensi berkaitan akan berusaha sedaya upaya bagi mengawal penularan COVID-19 di seluruh Malaysia dan lerjasama semua pihak adalah amat diperlukan. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. semua kuarantin wajid harus di lakukan di tempat kuarantin bukan nya di rumah khusunya pada spesis politik yang dilihat ada sifat kebebalan yang tinggi..

Comments are closed.