Tan Sri Abdul Hamid Bador

PETALING JAYA – Pegawai polis, khususnya ketua polis daerah, yang tidak dapat mengawal aktiviti perjudian, maksiat dan dadah perlu bertanggungjawab dan akan ditukar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ketua polis daerah perlu mengawal aktiviti haram tersebut secara berkesan.

“Pertukaran ketua polis daerah itu akan menumpu kepada kawasan panas yang selalu berlaku aktiviti-aktiviti haram ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, selain ketua polis daerah yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik, pegawai yang mempunyai peranan penting tetapi tidak efektif juga akan ditukar.

Jelasnya, pertukaran sumber manusia akan membolehkan pegawai mendapat pengalaman dengan bertugas di tempat berlainan.

Dengan “sistem akauntabiliti” itu, Abdul Hamid berkata, ia akan memastikan polis melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Sebelum ini polis daerah Sungai Buloh telah dikaitkan dengan salah laku pegawai dan anggota berhubung isu perjudian.

Berikutan daripadanya, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman telah melakukan siasatan bukan sahaja di Sungai Buloh, tetapi juga di tempat lain di seluruh negara.

Laporan mengenai daerah polis yang tidak melaksanakan penguatkuasaan dengan baik seterusnya dihantar balik ke ibu pejabat di Bukit Aman.

Mengulas tentang keadaan di Sungai Buloh, Abdul Hamid berkata, ibu pejabat polis daerah Sungai Buloh tidak melindungi aktiviti haram, tetapi terdapat isu-isu tertentu yang boleh ditambah baik.

Beliau berkata, tindakan susulan telah diambil untuk mengatasi setiap isu itu.

Tambahnya, sesetengah pegawai dari daerah itu juga dikenakan tindakan tatatertib.