Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melambai tangan ke arah petugas media selepas menghadiri sidang media mengenai Datuk Bandar Kuala Lumpur di Menara Seri Wilayah, Putrajaya. foto ISKANDAR HAMIDI, 1 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan membuka Permohonan Untuk Cadangan (RFP) kepada syarikat swasta bagi projek pembangunan monorel Putrajaya dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia bagi membolehkan projek monorel yang sebelum ini ditangguhkan diteruskan dengan kerjasama pihak swasta.

“Kita bersetuju untuk membuat RFP daripada pelbagai pihak yang telah menyatakan hasrat sebelum ini.

“Terdapat beberapa syarikat swasta yang telah menyampaikan hasrat dan ada juga yang telah membentangkan cadangan kepada Ketua Setiausaha KWP.

“Jadi dengan persetujuan antara KWP dan Kementerian Pengangkutan, kita akan membuat RFP secara terbuka kepada syarikat-syarikat yang ingin membuat cadangan bagi membolehkan projek ini diteruskan,” katanya pada sidang media di Menara Seri Wilayah hari ini.

Annuar berkata, ketika ini beberapa infrastruktur sudah siap dibina termasuk terowong dan jambatan, malah beberapa syarikat swasta sudah menyatakan minat terhadap projek berkenaan.

“Kita tak menggunakan benchmark kepada kos, sebab kos itu bergantung kepada teknologi yang dipilih.

“Ada yang mencadangkan menggunakan konsep trem, ada cadang guna teknologi kurang bunyi kuat di mana monorel menggunakan tayar getah supaya tidak mengeluarkan bunyi bising.

“Kita serahkan kepada pihak swasta untuk kemukakan cadangan mereka dengan menggunakan apa juga teknologi dalam projek monorel ini,” katanya.

April lalu, Perbadanan Putrajaya mengesahkan kerajaan akan meneruskan laluan monorel yang sebelum ini ditangguhkan pada pertengahan 2004.

Mengikut perancangan asal, monorel berkenaan dicadangkan mempunyai dua aliran, satu sepanjang 12 kilometer dengan 17 stesen dan satu lagi sepanjang 6km dengan enam stesen. – MalaysiaGazette