Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mungkin mengadakan perbincangan mengenai tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang menahan minyak sawit dan produk komoditi keluaran FGV Holdings Berhad (FGV) ke negara itu.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada keperluan dan FGV perlu mengenalpasti punca CBP berbuat demikian, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.

“Saya kesal tindakan orang di luar negara ini. Bagi kita tindakan itu agak funitif (menghukum) kepada industri kita.

“Apakan daya, kita sepatutya di mana saja yang nampak kemampuan kita boleh pertingkatkan untuk mendapat yang terbaik

“Mungkin disitulah kita boleh kembali ke tahap yang boleh diterima mereka tetapi dalam hal ini ia keterlaluan,” katanya.

Beliau berkata demikia pada sidang media selepas majlis Pelancaran Jualan Negaraku Selamat dan Aktif sempena Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2020 di sini hari ini.

Beliau ditanya wartawan mengenai tindakan AS telah mengharamkan pengimportan minyak sawit FGV berkuatkuasa semalam dengan mendakwa syarikat itu menggunakan buruh paksaan dalam proses pengeluaran produknya.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, pihaknya akan menasihatkan FGV setakat mana yang mampu dalam mendepani perkara tersebut sebagai membuktikan tuduhan pihak terbabit tidak seperti didakwa.

Semalam, dalam satu kenyataan CBP mengeluarkan arahan Perintah Pelepasan (WRO) terhadap produk sawit dan minyak sawit yang dihasilkan FGV berdasarkan maklumat secara munasabah yang menunjukkan berlaku penggunaan buruh paksaan.

Menurut jabatan itu, perintah itu susulan penyiasatan yang dijalankan selama setahun apabila membawa pendedahan penggunaan buruh paksa termasuk penipuan; sekatan pergerakan; pengasingan; keganasan fizikal dan seksual; intimidasi dan ancaman; penyimpanan dokumen pengenalan diri; penahanan gaji; perhambaan hutang; keadaan hidup serta kerja berlebihan.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan, CBP mendapati buruh paksa kanak-kanak digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV. – MalaysiaGazette