Haris Fadzilah Hassan

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Rubber Industries Sdn. Bhd. (FGVRI) mengembangkan pasaran getahnya ke Eropah dan Amerika Utara melalui pelantikan Rubber Heart Ltd (RHL).

RHL adaah sebuah agensi pemasaran getah yang berpusat di United Kingdom.

Pelantikan tersebut merangkumi pengembangan pasaran dan jualan strategik pelbagai gred Getah Spesifikasi Teknikal (Technically Specified Rubber) dan bahan berasaskan Getah Asli Khas (Specialty Natural Rubber) lain yang eksklusif untuk negara-negara di benua ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, sebagai salah satu pengeluar Standard Malaysian Rubber (SMR) utama di Malaysia dengan 50 tahun pengalaman di dalam industri getah, ini adalah peluang terbaik bagi FGV untuk mengembangkan dan memperkukuhkan senarai pelanggan antarabangsa.

Pengalaman global selama bertahun-tahun oleh RHL dalam pemasaran perniagaan getah akan memberi keyakinan dan menambah nilai dalam penawaran produk getah FGVRI.”

RHL merupakan pakar teknikal dan kelestarian untuk Getah Mesra Alam FGV, yang mana FGVRI adalah satu-satunya pengeluar di Malaysia.

“Saya yakin bahawa dengan pelantikan RHL ini juga akan membantu mendorong produk Getah Mesra Alam kita dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat sebagai pengganti getah sintetik, terutama dalam industri tayar,” tambah Haris Fadzilah.

Getah Mesra Alam FGV adalah getah yang diubah suai dari segi struktur molekulnya untuk menambah baik ciri-ciri agar setanding dengan getah sintetik.

Ia dihasilkan secara eksklusif di kilang getah FGV Palong 8, Negeri Sembilan.

Menurutnya, pekebun kecil yang menghasilkan susu getah atau lateks juga dapat meraih pendapatan yang lebih lumayan kerana harganya yang lebih tinggi berbanding dengan getah skrap.

FGV mengendalikan empat kemudahan pemprosesan getah di Malaysia, yang dilesenkan oleh Lembaga Getah Malaysia (MRB) sebagai kilang SMR, dengan jumlah kapasiti pengeluaran kumpulan tahunan sebanyak 230,000 MT. FGV juga memiliki satu kilang Lateks Pekat di Thailand dan satu kilang di Kemboja yang menghasilkan Cambodian Standard Rubber (CSR).

Operasi getah FGV disokong oleh dua makmal yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia dengan ISO/IEC 17025:2017.

Pelbagai jenis getah asli FGV memenuhi spesifikasi Technical Specified Rubber (TSR). Pelanggan FGVRI terdiri daripada pengeluar-pengeluar tayar utama dunia.- MalaysiaGazette