Fatimah Azzahrah Abdullah, 11, dan adiknya Daniel Abdullah berusia sembilan tahun hilang dari Rumah Bakti Darussalam, Gombak pada 29 Sept lepas

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan dua adik-beradik dipercayai hilang dari Rumah Bakti Darussalam, Gombak di sini, pada 29 Sept lepas.

Kanak-kanak yang dilapor hilang itu dikenali sebagai Fatimah Azzahrah Abdullah, 11, dan adiknya Daniel Abdullah berusia sembilan tahun.

Menurut sumber polis, kedua-dua mereka didapati hilang pada waktu Subuh hari kejadian.

“Kehilangan mereka disedari penjaga rumah itu yang kemudiannya bertindak membuat laporan polis,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, menerusi hebahan Nur Alert yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia pada hari ini, Fatimah Azzahrah mempunyai ciri-ciri bertubuh kurus, berketinggian 150 sentimeter, berkulit putih, bermata sepet dan berambut perang sehingga paras bahu.

Adiknya pula berketinggian 120 sentimeter, berkulit gelap, tidak berambut dengan bentuk badan yang sederhana.

Orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu diminta berhubung dengan pegawai Sjn Hasrol Ismail di talian 017-5262726 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan kanak-kanak berkenaan.

— BERNAMA