Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR-Para pemimpin kerajaan dibenarkan untuk ke luar negara atas urusan rasmi.

Bagaimanapun menurut Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, para pemimpin berkenaan bersama delegasinya perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari tanpa sebarang pengecualian.

“Kerajaan bersetuju pemimpin-pemimpin boleh ada rundingan dan urusan di di luar negara dalam keadaan-keadaan tertentu kerana sebab-sebab khusus untuk kepentingan negara,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan, pemimpin-pemimpin dari luar negara juga dibenarkan ke Malaysia bagi menjalankan urusan rasmi kerajaan atau mengadakan rundingan.

Namun begitu katanya, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan kerajaan Malaysia.

Antaranya, delegasi tersebut perlulah bertaraf menteri atau ke atas dan hadir di atas urusan rasmi sahaja.

Mereka juga perlu menjalani saringan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke negara ini dan diwajibkan menjalani saringan sebaik tiba di Malaysia.

Mereka juga hanya dibenarkan menaiki pesawat sewa khas dan bukannya melalui penerbangan komersial.

Delegasi-delegasi asing itu harus segera pulang ke negara masing-masing, sebaik mesyuarat tamat, katanya lagi.- MalaysiaGazette