Andreas Pereira dipinjamkan ke Lazio.

ITALI – Pemain tengah Manchester United, Andreas Pereira lulus pemeriksaan perubatan dan telah menandatangani kontraknya dengan kelab Serie A, Lazio.

Pemain kelahiran Brazil itu ditawarkan kontrak secara pinjaman selama satu musim dengan pilihan untuk membelinya oleh Lazio.

Harga yang ditetapkan adalah €27 juta dengan tambahan 10 peratus daripada penjualan seterusnya kepada United.

Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini telah diramal akan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut dalam masa terdekat selepas gagal disenaraikan dalam skuad utama untuk beberapa perlawanan sejak awal musim ini.

Dengan kehadiran dua bintang iaitu Bruno Fernandes dan yang terbaharu Donny van de Beek, masa depan Pereira di Old Trafford dilihat semakin malap dan sukar untuknya bersaing dengan beberapa pemain lain seperti Paul Pogba, Nemanja Matic, Fred dan Scott McTominay.

Dia yang juga merupakan produk Akademi United telah membuat 75 penampilan dalam semua pertandingam, namun hanya berhasil menjaringkan empat gol dan mencatat lima bantuan jaringan. – MalaysiaGazette