Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan mesyuarat khas Covid-19 hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, malam tadi menerusi satu ciapan di Twitter beliau.

“Besok (hari ini), Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri pengerusikan mesyuarat khas Covid-19.

“Semoga ada tindakan tegas dan segera esok,” katanya.

Sementara itu, menurut laporan Bernama, mesyuarat itu antaranya dihadiri oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin serta menteri-menteri berkaitan.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semalam, Malaysia mencatatkan 287 kes baharu COVID-19, iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di negara ini.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang sepatutnya menghadiri majlis perasmian Garis Panduan Klinikal Pengurusan Tiroid di Kuala Lumpur hari ini tidak dapat hadir di saat akhir.

Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Perubatan KKM, Datuk Dr. Norhizan Ismail yang mewakilinya di majlis tersebut berkata, beliau bersama Noor Hisham, Penasihat Perdana Menteri Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan beberapa pakar perubatan yang lain telah mengadakan mesyuarat awal pagi tadi bagi membincangkan situasi semasa Covid-19 terutamanya di Sabah, Kedah dan Selangor.

Beliau bagaimanapun tidak memberi penjelasan lanjut mengenai perbincangan tersebut.

Semalam, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi dengan 287 kes yang semuanya melibatkan penularan tempatan.

Hampir separuh atau 128 kes adalah daripada Kluster Tembok di sebuah penjara di Kedah.

Secara keseluruhan, Kedah merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 129 kes diikuti Sabah (113) dan Selangor (31).

Terdapat dua kluster baharu telah dikenal pasti di Selangor iaitu Seri Anggerik (Hulu Selangor) dan Seri Setia (Gombak).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast