Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak COVID-19 di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua rakyat bertenang kerana situasi semasa Covid-19 di negara ini masih terkawal dan dapat dibendung oleh agensi-agensi yang terlibat.

Mengulangi komitmen kerajaan di dalam membendung penularan pandemik, Muhyiddin turut memaklumkan Malaysia berada di tahap kesiapsiagaan tertinggi sekali gus mampu menghadapi penularan jangkitan Covid-19 seperti yang pernah dilalui sebelum ini.

Jelasnya, Malaysia mempunyai 40 buah hospital dan 34 buah pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah dengan kapasiti 5,674 buah katil untuk merawat kes positif Covid-19.

Kadar penggunaan katil-katil di hospital Covid-19 ketika ini hanyalah 24 peratus sahaja, ujarnya.

Selain itu, fasiliti-fasiliti kesihatan juga ketika ini mempunyai 437 buah katil unit rawatan rapi (ICU) dan 1,505 alat bantuan pernafasan.

Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas MKN hari ini. Foto FB Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Situasi pada masa ini adalah terkawal dan masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi dan aktiviti pemantauan kesihatan awam yang berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Untuk makluman, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan di dalam penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan dari kluster-kluster yang telah pun dikenal pasti dan terkawal.

“Kesemua kawasan ini dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes-kes positif dapat dikesan dan diasingkan.

“Hal ini menyebabkan lebih banyak kes positif COVID-19 dapat dikesan dan menyumbang kepada statistik harian di dalam negara.

“Saya amat berharap perkara ini dapat difahami dan saya ingin tekankan di sini bahawa keadaan adalah terkawal dan sedang diuruskan dengan baik oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” katanya hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak Covid-19.

Tambah beliau, kerajaan akan membuka lebih banyak Pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) untuk menempatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebelum proses pengurusan pengusiran dilaksanakan.

Dalam pada itu, petugas KKM juga ditambah untuk menjalankan proses saringan ke atas PATI yang telah ditahan.

Ini jelasnya berikutan penularan wabak Covid-19 di Sabah adalah berpunca daripada kemasukan PATI dari negara jiran.

Bagaimanapun, buat masa ini, PTS di Sabah telah melebihi kapasiti dan perlu ditambah.- MalaysiaGazette