Mohammad Shatar menunjukkan FAQ yang dikeluarkan UPSI.

KUALA LUMPUR – Menyedari kepentingan kebajikan semua pelajar dalam situasi pandemik Covid-19, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif mengeluarkan edaran Soalan Lazim atau FAQ (Frequently Asked Question) untuk memberi maklumat yang lebih terperinci kepada pelajar.

Langkah segera itu diambil ekoran kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar semua institusi pendidikan tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran secara fizikal serta kelas bersemuka, kata Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

“Kerajaan dan masyarakat termasuk kalangan ibu bapa malah pentadbiran universiti bimbang dengan penularan pandemik Covid-19 akhir-akhir ini dan pelajar memerlukan maklumat yang jelas dan tepat dalam mengikuti pengajian mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, FAQ dikeluarkan yang terbahagi kepada tiga segmen iaitu penangguhan pelajar pulang ke kampus, pengajaran dan pembelajaran serta Pusat Latihan Mengajar dan Industri memuatkan 27 soalan dan jawapan yang tepat sebagai panduan kepada semua pelajar UPSI agar mereka mendapat maklumat yang langsung dari universiti secara lebih jelas.

FAQ sudah dimuatkan di laman facebook rasmi universiti supaya semua pelajar mendapat penjelasan yang spesifik dan jelas.

Menurut Muhammad Shatar, dalam tempoh pandemik Covid-19 yang kembali berleluasa menyebabkan UPSI mengambil pendekatan berhati-hati dalam menguruskan pendaftaran pelajar baharu serta perjalanan kuliah yang paling selamat iaitu secara online demi keselamatan pelajar.

“Semasa pendaftaran pelajar baharu, UPSI menggunakan kaedah “Pandu Lalu” bagi mengelakkan pelajar dan keluarga berkumpul sekali gus mengurangkan riziko jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, situasi yang membimbangkan itu menyebabkan berlakunya perubahan pendekatan pada saat menjelang kuliah bermula sekali gus memberi keresahan kepada pelajar namun universiti juga terpaksa memikirkan keselamatan diri pelajar yang lebih penting.

Usaha meenyiapkan FAQ digerakkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni), Prof Dr Md Amin Md Taff berkata Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) dan direalisasikan oleh pasukan Taskforce Covid-19 UPSI yang bertungkus-lumus menyiapkannya dengan pantas selain operasi untuk kebajikan pelajar mengikut SOP di sekitar kampus. – MalaysiaGazette