Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 293 kes baharu positif berkaitan Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam hingga jam 12 tengah hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 12,381 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,961 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 293 kes baharu yang dilaporkan, satu kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan bukan warganegara mengembara dari negara.

“Satu kes itu adalah individu baru balik dari Bangladesh yang dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan saringan sign-on,” katanya.

Katanya, daripada 292 kes penularan di dalam negara, 269 kes adalah warganegara Malaysia dan 23 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada 292 kes tersebut juga, sebanyak 30 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah.

“Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 206 kes,” katanya.

Antara 293 kes baharu itu ialah Sabah 126 mencatatkan kes diikuti Kedah (113), Selangor (31), Johor (8), Wilayah Persekutuan Labuan (5), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Dua (2), Negeri Sembilan (2), Perak (2), Pulau Pinang (1) dan Sarawak (1).

Katanya lagi, terdapat 28 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, setakat hari ini juga tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 137 kes (1.10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 67 kes yang telah pulih Covid-19 telah dilaporkan hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 10,283 kes (83.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya lagi. – MalaysiaGazette