Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Dua kluster baharu dikesan hari ini, masing-masing satu di Sabah dan Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu di Sabah dikenali sebagai Kluster Kau Sing yang terletak di Tawau.

“Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-10755) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 29 tahun.

“Dia dikesan positif Covid-19 melalui saringan individu bergejala pada 25 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya, daripada tujuh kes yang dikesan positif, sebanyak lima kes merupakan warganegara Malaysia dan dua kes bukan warganegara.

“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah,” katanya.

Setakat jam 12 tengah hari ini juga, sejumlah 27 individu telah disaring yang mana tujuh dikesan positif Covid-19, manakala sembilan individu dikesan negatif.

“Seramai 11 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, bagi kluster baharu di Selangor pula dikenali sebagai Kluster Embun yang merupakan kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-11147) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 41 tahun.

“Dia telah dikesan positif Covid-19 melalui saringan individu bergejala pada 29 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan empat lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti.

“Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya.

Sehingga jam 12 tengah hari ini juga, seramai 52 individu telah disaring di mana lima dikesan positif Covid-19 manalah 21 individu lagi dikesan negatif.

“26 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette