Foto Facebook PU Amin.

KUALA LUMPUR –  Pencetus Ummah (PU) Amin meluahkan rasa syukur apabila berjaya menerima Tauliah Mengajar di Wilayah Persekutuan.

Menerusi perkongsian PU Amin di Instagram miliknya, tauliah tersebut sah digunakan dalam tempoh tiga tahun berkuatkuasa 16 Mei hingga 31 Ogos 2023 dengan beberapa syarat tertentu.

PU Amin atau nama sebenarnya Amirul Amin Maula Lokmanhakim berharap dia dapat menjalankan tanggungjawab tersebut dengan baik.

“Alhamdulillah, nak dapat ini kena temuduga dan tapisan yang sangat hebat. Bukan mudah untuk bercakap hal ehwal agama pada akhir zaman ini.

“Moga apa yang kita sampaikan mengikut kehendak Allah dan Rasul. Proses dapat tauliah juga sangat ketat. Maka apabila dah diberi kepercayaan oleh pihak berkuasa, maka perlu kita gunakan dengan sebaiknya.

“Semoga kita diberi kekuatan untuk meneruskan kerja dakwah di dunia ini,” tulisnya.

Menerusi surat daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri yang diterima PU Amin, dia diingatkan agar tidak mengajar atau menyebarkan apa-apa ajaran bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu, PU Amin juga tidak boleh menyentuh apa-apa perkara berhubungan kedaulatan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan mana-mana raja sebagai ketua agama Islam sesebuah negeri.

Tempoh sah tauliah untuk mengajar agama di Wilayah Persekutuan yang diberikan kepada PU Amin adalah selama tiga tahun.

Dua syarat lain juga termasuk tidak menghina perkara khilaah yang terdapat dalam empat mazhab dan yang tidak selaras dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah serta tidak menyentuh isu parti politik.

Selain itu dia juga tidak boleh menyentuh langsung hal-hal peribadi mana-mana individu, tidak menghina pihak berkuasa agama dan mematuhi segala peraturan yang dikenakan.

Pada November 2019 PU Amin diberi pentauliahan untuk mengajar agama di Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette