MELAKA – Hasrat seorang anggota tentera mahu bertemu wakil rakyat diminatinya buat pertama kali juga menjadi yang terakhir apabila dia meninggal dunia selepas bergambar dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan malam tadi.

Mangsa, Staf Sarjan Mohd Irfan Faizal Ismail, 41, dari pasukan Markas 1 Bridged, Kem Rasah, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia oleh doktor ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pukul 10.26 malam tadi.

ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, mangsa sebelum itu
rebah ketika menunggu sesi cabutaan bertuah selepas tamat program Larian Bersama Bomba 5 Kilometer 2024 di Banda Hilir Melaka pada pukul 10.10 malam dan dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.

“Sebelum memulakan larian, anggota tentera berkenaan sempat bergambar dengan saya dan beberapa peserta larian lain.

“Saya difahamkan, arwah sudah lama menyimpan hasrat untuk bertemu saya sebelum ini dan tidak sangka pula semalam adalah kali pertama dan terakhir kami bertemu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini

Allahyarham yang sudah berkahwin dan tinggal di Gemas, Negeri Sembilan mula menyertai tentera pada Jun 2004 dan dijadualkan pencen pada Jun tahun hadapan.

Difahamkan, jenazah dijangka di bawa ke Masjid Jamek Kampung Kuala Paya, Segamat, Johor untuk solat jenazah sebelum dikebumikan.

Sementara itu, kejadian menyayat hati itu turut tular di media sosial yang dikongsikan adik lelaki mangsa.

“Irfan Ismail, kau nak sangat Long jumpa YB Duyong. Betul-betul kali pertama dan terakhir Long kau jumpa dia,” tulisnya. – MalaysiaGazette