Muhammad Yasin Sulaiman

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman kembali rancak menyusun pelbagai aktiviti dan perancangan untuk kerjaya seni selepas dibebaskan daripada menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada 2 September lalu.

Antara yang dilakukan pemilik nama penuh Muhammad Yasin Sulaiman, 51, itu adalah membuka sebuah akaun Threads dan TikTok pertamanya.

“Untuk pertama kali, saya kini dalam TikTok, Yasin Sulaiman,” tulisnya.

Bukan sahaja media sosial, dia juga tidak mengambil masa lama dengan menghasilkan sebuah buku yang merangkumkan kisah hidupnya sebagai anak seni sejak hampir tiga dekad lalu.

“Saya dalam proses menerbitkan sebuah buku autobiografi 400 muka surat. Sekarang sedang memilih foto yang akan dimuatkan dalam buku tersebut.

“Foto ini (momen bersama Datuk M. Nasir) pastilah antara yang akan diselitkan,” kata bekas anggota kumpulan Brothers itu.

“Semoga dapat aku membina sebuah syurga bersamanya kini dan selamanya,” ujarnya yang turut ligat bertemu dengan beberapa rakan industri termasuk komposer, Ezra Kong.

Terdahulu, selepas empat tahun dirawat, penyanyi lagu Mimpi Laila itu dibebaskan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Sebelum itu, pada 28 April tahun lalu, Yasin dilaporkan dibebaskan dan dilepaskan Mahkamah Rayuan namun diperintahkan ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga diperkenankan Sultan Selangor.

Keputusan dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir dikemukakan komposer terbabit.

Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here