NIBONG TEBAL – Kejayaan murid berusia 11 tahun, Nur Aamily Saffiya Muhd Zabari Izyan dalam pertandingan pengucapan awam di Dubai dan United Kingdom menarik perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Fadhlina berkata, semalam beliau singgah bertemu Nur Aamily yang jugamurid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat di sini, dan keluarganya di kediaman mereka.
“Februari lalu dia (Nur Aamily) berucap di Dubai dan pulang dengan pingat perak. Ogos, dia terbang pula ke University of Surrey di United Kingdom.
“Kali ini bukan sahaja menang emas public speaking, malah menjadi antara tiga peserta terbaik keseluruhan bagi kategori Bahasa Inggeris.
“Saya suka melihat anak-anak begini. Bukan semata-mata kerana pingat yang dibawa pulang, tetapi kerana pada usia 11 tahun, dunianya sudah begitu luas untuk diteroka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, dalam pertemuan berkenaan, Fadhlina turut menghadiahkan sebuah iPad kepada Nur Aamily.
Beliau berharap iPad berkenaan dapat membantu pembelajaran Nur Aamily dan menjadi teman untuk murid itu terus meneroka lebih banyak perkara.
“Sebagai Menteri Pendidikan, inilah keyakinan yang kita mahu tumbuhkan dalam diri anak-anak kita.Nur Aamily mencuba, berani bercakap dan berani masuk ke ruang yang baharu.
“Sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal pula, saya tumpang bangga lebih sikitlah. Ini anak kita.
“Terus terbang tinggi, Aamily,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Nur Aamily Saffiya meraih pingat perak dalam pertandingan Public Speaking iWise Global 2026 di Dubai pada Februari lalu.
Pencapaian itu kemudian disusuli pingat emas dalam pertandingan Public Speaking Bahasa Inggeris di United Kingdom pada Ogos lalu. – MalaysiaGazette
















