Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

KOTA KINABALU – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah COVID-19 (JKPBNS COVID-19) mengesyorkan beberapa langkah tegas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berharap langkah-langkah itu akan dipersetujui dan mendapat kelulusan MKN untuk dikuatkuasakan serta-merta hingga 16 Okt berikutan peningkatan kes COVID-19 di Sabah sejak kebelakangan ini.

“Bilangan kes positif COVID-19 di Sabah telah mencatatkan peningkatan kepada tiga angka dari 1 Okt hingga 4 Okt (semalam).

“Bilangan kes COVID-19 dalam wad di Sabah pada 4 Okt (semalam) adalah sebanyak 1,206 orang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, langkah yang disyorkan jawatankuasa itu adalah membenarkan operasi premis perniagaan untuk perkhidmatan dan barangan perlu; menutup pasaraya kecuali premis perniagaan membekalkan perkhidmatan dan barangan perlu; tidak membenarkan makan dalam premis makanan; dan menutup tamu, pasar malam dan pasar tani, serta rumah ibadat kepada orang awam.

Selain itu, katanya, JPBNS COVID-19 turut memutuskan untuk menutup taman awam, pusat rekreasi dan taman permainan dalaman dan luaran; menutup perpustakaan awam; menutup sekolah termasuk taska, pusat jagaan, tadika dan tabika; mengurangkan 50 peratus kapasiti sebenar penumpang bagi perkhidmatan bas henti-henti; mengehadkan kapasiti kenderaan kepada dua orang; dan menjadikan stesen kuarantin sebagai pusat wad tambahan.

Ketika ini, kerajaan sedang melaksanakan kawalan pergerakan rentas daerah di Sabah selama 14 hari mulai 3 Okt lepas, manakala kemasukan ke Sabah dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan adalah mengikut Panduan Kebenaran Masuk Ke Sabah yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Semua penduduk Sabah diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan diminta memainkan peranan masing-masing dalam memerangi pandemik COVID-19 dengan penuh tanggungjawab,” katanya.- BERNAMA