Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Tiga kluster baharu dikesan hari ini yang mana dua daripadanya dikesan di Kedah dan satu di Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua kluster baharu di Kedah dikenali sebagai Kluster Bah Sintok dan Kluster Jeram.

“Kes indeks Bah Sintok iaitu kes ke-12072 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 23 tahun yang baru pulang dari Sabah pada 20 September 2020.

“Kes mempunyai gejala demam, selesema dan sakit kepala sejak 22 September 2020.

“Saringan COVID-19 dikesan positif pada 2 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah,” katanya.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 11 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti.

“Kesemua kes yang dikesan positif merupakan warganegara Malaysia dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 165 individu telah disaring. Hasilnya 12 dikesan positif Covid-19, 61 individu dikesan negatif dan 92 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Selain itu, Kluster Jeram yang dikesan di Kubang Pasu, Kedah pula ialah kes ke-11211 adalah seorang pesakit perempuan warganegara Malaysia berumur 31 tahun.

“Kes bergejala batuk dan sakit kepala sejak 25 September 2020 dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tunjang pada 28 September 2020 di mana saringan Covid-19 dijalankan.

“Kes dikesan positif pada 29 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah,” katanya.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti yang melibatkan petugas kesihatan.

“Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan.

“Sehingga 5 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 65 individu telah disaring. Empat daripadanya dikesan positif Covid-19, 50 individu dikesan negatif dan 11 individu masih menunggu keputusan.

“Proses pembersihan dan nyah kuman di fasiliti kesihatan yang berkaitan telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Kedah. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Bah Tanjung dikenal pasti di Kuala Nerus, Terengganu membabitkan kes ke-11477 adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 46 tahun.

“Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah dari 10 sehingga 27 September 2020.

“Kes bergejala sakit tekak dan demam sejak 28 September 2020. Kes dikesan positif Covid-19 pada 30 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang,” katanya.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti dan kesemua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia.

“Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang untuk rawatan.

“Sehingga 5 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 245 individu telah disaring di mana tujuh dikesan positif Covid-19, 113 individu dikesan negatif dan 125 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette