KUALA LUMPUR – Pesalah kes dadah Seksen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dikeluarkan dari penjara dan ditempatkan di beberapa kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diwartakan sebagai penjara sementara.

Menurut kenyataan Jabatan Penjara, ia merupakan antara langkah pihaknya bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan di penjara

“Jumlah keseluruhan yang dapat ditampung kem-kem PLKN adalah disasarkan seramai 2,300 hingga 2,800 orang banduan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kini jumlah aktif Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara seluruh negara bertambah sebanyak 453 kes kepada 1,126 kes berbanding 673 kes semalam.

Menurut kenyataan itu, selain itu, Jabatan Penjara juga akan melaksanakan Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) ke atas sabitan hukuman bawah setahun yang baki hukumannya kurang dari 3 bulan.

Katanya, mengikut statistik Jabatan Penjara (sehingga 5 Oktober 2020), terdapat 11,018 banduan hukuman kurang dari setahun dan baki hukumannya kurang dari 3 bulan yang layak untuk dipertimbangkan bagi PBSL.

Tambahnya, semua banduan yang dibebaskan melalui PBSL wajib melepasi kriteria pemilihan ketat yang ditetapkan dan disahkan
lulus saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu. – MalaysiaGazette