Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) kini dalam proses memulakan proses rawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas semalam agar air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mencatatkan bacaan 0 Ton tiga kali berturut-turut.

Bagaimanapun ujian persampelan yang dijalankan sehingga pukul 6 pagi tadi masih mengesan pencemaran di muka sauk LRA Bukit Tampoi pada tahap2 Ton, kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru LRA Sungai Semenyih telah mula mengoperasikan pam air mentah pagi ini untuk kerja-kerja pembersihan paip air mentah dan tangki-tangki rawatan air.

“Usaha merawat air mentah dan menstabilkan sistem LRA akan mengambil masa 12 jam sebelum bekalan air boleh diagihkan kepada pengguna.

“Bekalan air yang diagihkan akan melalui ujian kualiti air dan pematuhan standard oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air secara berperingkat mengikut kawasan apabila proses rawatan air dapat dilaksanakan sepenuhnya,” kata kenyataan yang sama.

Dalam pada itu, Air Selangor juga menggerakkan sebanyak 52 unit lori tangki ke premis-premis kritikal seperti sekolah serta kawasan yang terjejas.

Sebanyak 22 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, sembilan pusat khidmat setempat dan 13 pili awam juga disediakan untuk kemudahan pengguna terjejas.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast