Seorang lelaki merakam gambar papan tanda Jalan Palestin ekoran Jalan Raja Laut 1 kini dikenali sebagai Jalan Palestin ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Palestin, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 28 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Langkah mengekalkan nama Jalan Raja Laut
disifatkan sebagai mengenang jasa Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ini kerana, pada tahun pada tahun 1974, Sultan Salahuddin telah berkorban menyerahkan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan ibu negara Malaysia, kata Pejabat Istana Selangor.

Menurutnya, ketika itu Kuala Lumpur bersetuju agar sejarah berkaitan Selangor tidak dipadamkan sebagai mengenang budi dan jasa baginda.

“Justeru, terdapat beberapa lagi nama jalan dan monumen di ibu negara yang diabadikan dengan nama-nama bersejarah dari Negeri Selangor, termasuk Jalan Raja Laut.

“Terima kasih diucapkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak terlibat yang tidak jadi seperti kacang lupakan kulit, dan telah memutuskan untuk mengekalkan nama Jalan Raja Laut dalam usaha memelihara nilai-nilai sejarah negeri Selangor,” kata pejabat urustadbir Sultan Selangor itu menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.

Pada masa sama, pejabat itu memaklumkan, nama Raja Laut yang diabadikan pada jalan raya di Kuala Lumpur adalah putera kedua Sultan Selangor ketiga, Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah.

Ujarnya, almarhum mendapat gelaran ‘Laut’ kerana dikatakan dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut.

“Almarhum tersohor sebagai ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1880 dan antara individu yang telah menyelesaikan banyak masalah yang timbul pada ketika itu.

“Almarhum pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri Selangor dan bertindak sebagai hakim dan penghulu di Kuala Lumpur. Pada 1890 pula menjadi pengasas kepada penubuhan Kuala Lumpur Sanitary Board,” ujar.

Pada 27 September lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memaklumkan nama Jalan Raja Laut ditukar nama sebagai Jalan Palestin.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa tidak bersetuju dengan perkara itu sebaliknya, menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mencari lokasi lain untuk dinamakan Jalan Palestin bagi menggantikan nama Jalan Raja Laut. – MalaysiaGazette