Radzi Jidin
Dr Mohd Radzi Md. Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan pihaknya lambat dalam membuat keputusan untuk menutup sekolah ekoran peningkatan Covid-19.

Menterinya, Dr. Radzi Jidin mengetahui kegusaran dan kebimbangan ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah dan KPM sentiasa memantau rapat keadaan di sekolah di seluruh negara.

“Sebarang keputusan yang dibuat oleh KPM adalah berdasarkan penelitian yang mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mungkin ada yang melihat dalam keadaan tertentu kami seolah-olah lambat membuat keputusan. Hakikatnya tidak begitu. Tiada siapa di dunia ini berpengalaman menangani krisis Covid-19. Ianya tidak pernah berlaku.

“Namun, kita telah mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini apakah pendekatan yang sesuai dalam suasana dan keadaan tertentu.

Alhamdulillah, pengalaman mengajar kita untuk membuat sesuatu dengan lebih baik. Menaungi lebih lima juta orang murid sekolah, pelajar Matrikulasi dan IPG, lebih 500,000 orang guru, pensyarah dan kakitangan, serta lebih 10,000 buah sekolah memerlukan pendekatan yang cermat,” katanya dalam hantaran di media sosialnya malam ini.

Menurut Radzi, pihaknya belajar bahawa ketelitian adalah amat penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu dan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan.

“Walaupun terdapat kekurangan di sana sini, secara keseluruhannya pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM di sepanjang tempoh ini berjalan dengan baik,” katanya.

Hari ini KPM mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan Klang, Selangor serta di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah adalah kawasan zon merah.

Sehubungan itu, KPM telah mengumumkan bahawa sekolah di kawasan tersebut akan ditutup bermula esok 8 Oktober sehingga 23 Oktober 2020.

“Sepertimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau semalam, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara, jika perlu, akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 setelah menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Semua sekolah di Klang, 3 daerah di Sabah ditutup – KPM