semua permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi warganegara Malaysia dan warganegara asing boleh dibuat menggunakan sistem MyTravelPass.

PUTRAJAYA – Bermula hari ini, semua permohonan kebenaran masuk dan keluar negara bagi warganegara Malaysia dan warganegara asing boleh dibuat menggunakan sistem MyTravelPass.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, ia bagi menggantikan sistem lama bagi semua jenis permohonan yang sebelum ini menggunakan emel agensi itu.

“Jabatan ini telah menerima aduan tentang kelewatan mendapatkan keputusan. Perkara ini berlaku kerana terlalu banyak emel yang diterima setiap hari.

“Kira-kira 3,000 hingga 6,000 emel permohonan diterima JIM setiap hari bagi semua jenis permohonan.

“Oleh sebab itu, JIM telah mengambil langkah pro-aktif dengan menambahkan baik sistem MyTravelPass sebagai single window.

“Ia bagi memudahkan rakyat tempatan dan warga asing untuk membuat permohonan keluar atau masuk ke negara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JIM hari ini.

Untuk permulaan, sebanyak lapan kategori permohonan boleh dikemukakan melalui MyTravelPass termasuk permohonan masuk melalui Singapura Reciprocal Green Lane (RGL) dan Periodical Commuting Arrangement (PCA).

“Selain itu, MyTravelPass boleh digunakan untuk permohonan keluar oleh warganegara Malaysia atas sebab yang boleh dipertimbangkan, permohonan masuk oleh warga asing atau penduduk tetap (PR).

“MyTravelPass juga boleh digunakan untuk permohonan masuk oleh majikan bagi kategori Pembantu Rumah Asing (PRA), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pasangan kepada warganegara Malaysia atau pasangan kepada PR atau anak kepada warganegara Malaysia atau anak kepada PR.

“Permohonan melalui MyTravelPass boleh digunakan bagi permohonan masuk dan keluar oleh warga asing kategori ekspatriat dan permohonan masuk oleh warga asing kategori Malaysia My Second Home (MM2H),” katanya.

Menurutnya lagi, MyTravelPass ini merupakan salah satu inisiatif End to End (E2E) perkhidmatan kerajaan untuk memantapkan sistem penyampaian.

“Ia selaras dengan usaha pendigitalan dan penambahbaikan yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali baru-baru ini,” katanya.

Sebaliknya bagi warga tempatan dan warga asing yang masuk dalam kategori dibenarkan keluar atau masuk terus tanpa perlu memohon kelulusan awal, kebenaran ini masih berkuatkuasa.

“Bagi kategori ini, mereka tidak perlu memohon kebenaran melalui sistem MyTravelPass,” katanya lagi.

Sistem MyTravelPass boleh diakses melalui laman sesawang rasmi JIM di www.imi.gov.my dan mtp.imi.gov.my. – MalaysiaGazette