Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. capital punishment mandatory death sentence abolish
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berterima kasih dan menyambut baik keputusan kerajaan kerana tidak melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebaliknya, kerajaan tetapi mengambil tindakan secara kawalan setempat melalui sekatan pergerakan bagi kawasan-kawasan tertentu terutamanya di daerah yang berada dalam kategori zon merah yang kebanyakannya berada di Negeri Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, melihat kepada keadaan semasa untuk memulihkan kembali ekonomi, negara tidak lagi boleh berhadapan dengan PKP kerana proses pemulihan yang telah dimulakan sejak bulan Mei dan Jun yang lepas dengan suntikan dana melalui Penjana 1 dan 2 perlu digerakkan secara berterusan.

Kerajaan juga mahu melihat hasil ataupun impak daripada sumbangan yang diberikan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), katanya.

Menurut beliau jika kerajaan bertindak untuk menguatkuasakan semula PKP di seluruh negara, dikhuatiri segala apa yang dirancangkan akan lenyap begitu sahaja.

”Saya masih ingat apa yang disebut oleh Perdana Menteri pada 4 Mei yang lepas iaitu kerajaan bakal kehilangan sebanyak 2.4 billion sehari kesan daripada pelaksanaan PKP dan perkara ini mesti dielakkan daripada berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MEDAC melalui agensinya sedang rancak menjalankan latihan secara coaching bagi meningkatkan motivasi PKS untuk terus menjalankan perniagaan mereka walaupun berhadapan dalam situasi yang tidak menentu kesan daripada penularan wabak Covid-19.

Semua agensi di bawah MEDAC telah dan sedang melaksanakan program/aktiviti bagi menggalakkan ekonomi dalam semua bidang. – MalaysiaGazette