MIT

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) menyeru syarikat di Malaysia untuk berdaftar di sistem pengkalan data perniagaannya yang dipanggil Covid-19 Intelligent Management System (CIMS).

Ia susulan pengumuman Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi seluruh negara.

Pendaftaran itu adalah bagi memudahkan pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menggunakan sistem ini sebagai rujukan mereka sebelum memberi kebenaran beroperasi kepada syarikat-syarikat yang berkaitan.

Menurutnya, pendaftaran di CIMS adalah sekadar sumber rujukan PDRM dan bukan satu bentuk kelulusan beroperasi secara automatik bagi syarikat-syarikat. Kelulusan untuk beroperasi adalah tetap mengikut keputusan pihak PDRM.

Manakala, bagi lokasi PKPB di Sabah, syarikat-syarikat daripada sektor-sektor perkhidmatan perlu yang telah diwartakan kerajaan adalah amat digalakkan untuk berdaftar di CIMS.

Senarai sektor-sektor ini boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara.

Syarikat-syarikat boleh membuat pendaftaran secara dalam talian melalui pautan www.notification.miti.gov.my.

Bagi syarikat yang sudah membuat pendaftaran di versi CIMS terdahulu, mereka tidak perlu membuat permohonan sekali lagi.

Syarikat yang mempunyai sebarang isu teknikal dengan pendaftaran boleh menghantar emel aduan kepada [email protected] atau berhubung dengan MITI di laman media sosial MITI di Twitter, Facebook dan Instagram.

Selain itu, MITI ingin mengingatkan syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi agar mematuhi Prosidur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi setiap sektor terlibat seiring dengan akujanji yang dipersetujui syarikat semasa membuat permohonan di CIMS.

Pematuhan yang sama juga wajib bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa dilindungi.

Ketidakpatuhan SOP adalah satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan syarikat boleh dikenakan tindakan undang-undang. – MalaysiaGazette