KUALA LUMPUR – Lebih tujuh juta pengguna kediaman (Tarif A – Domestik) di Semenanjung Malaysia akan terus menikmati diskaun bil elektrik sehingga 50 peratus berdasarkan penggunaan elektrik bulanan dari 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020.

Pengurangan ini merupakan sokongan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap usaha kerajaan bagi mengurangkan impak Covid-19 kepada rakyat dan langkah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini.

TNB berkata, pengurangan ini adalah lanjutan daripada Diskaun Rangsangan Ekonomi untuk untuk bil elektrik yang diberikan bermula Mac lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Menurut Ketua Pegawai Retail TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, bagi menyokong usaha kerajaan ini, TNB juga turut meneruskan tiga inisiatif untuk manfaat pengguna kediaman sehingga akhir tahun ini.

Inisiatif itu adalah Pelan Bayaran Mudah (pilihan untuk pengguna membayar bil secara ansuran tanpa surcaj tambahan), pengecualian surcaj lewat bayar (bagi tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020) dan ketiga, penangguhan aktiviti pemotongan bekalan, kecuali permohonan daripada pengguna berdaftar dan arahan daripada pihak berkuasa.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web TNB (www.tnb.com.my/prihatin).

Untuk sebarang pertanyaan, hubungi TNB CareLine di 1-300-88-5454 atau e-mel [email protected] atau kunjungi Kedai Tenaga berdekatan. – MalaysiaGazette