Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di Sandakan dan Klang mulai 9 Oktober, 2020 hingga dimaklumkan kelak.

KWSP berkata penutupan itu adalah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di empat daerah, iaitu Sandakan, Papar, dan Tuaran di Sabah serta Klang di Selangor.

“Sehubungan itu, semua permohonan Janji Temu Online (JTO) di cawangan Sandakan dan Klang akan dibatalkan serta merta. Ahli yang telah membuat janji temu di pejabat KWSP Sandakan dan Klang yang dijadualkan diadakan dalam tempoh PKPB perlu membuat semula janji temu mereka setelah perintah kawalan itu tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, ahli dan majikan masih disaran menggunakan perkhidmatan atas talian KWSP, iaitu iAkaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan), ia beroperasi seperti biasa, manakala pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau ejen bank berdaftar di kaunter.

“Pada masa yang mencabar ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan kepada ahli di cawangan atau saluran digitalnya. Kesihatan dan keselamatan ahli serta anggota KWSP tetap menjadi keutamaan. Segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.

KWSP berkata ahli dan majikan dinasihati mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja termasuk menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan di talian 03- 8922 6000.- BERNAMA