Foto hiasan

PUTRAJAYA – Bekalan makanan dan barang keperluan lain di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah serta Klang, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah mencukupi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata penduduk di kawasan terbabit perlu mengelak membuat pembelian panik kerana tiada keperluan untuk mereka menyimpan barangan berlebihan kerana keadaan terkawal dan bekalan mencukupi.

“Pembelian panik hanya akan menyebabkan bekalan barangan habis lebih cepat di sesuatu premis daripada sepatutnya sementara menunggu pengisian semula barangan yang berkaitan di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan penguatkuasaan PKPB di Sandakan, Papar, Tuaran dan Klang bermula hari ini susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut.

Nanta berkata beliau yakin tiada gangguan bekalan akan berlaku di empat daerah berkenaan memandangkan PKPB hanya melibatkan kawasan yang terhad, selain jaminan Kementerian Pengangkutan bahawa semua kenderaan komersial bagi mengangkut barangan dibenarkan terus beroperasi seperti biasa.

Beliau juga berkata pegawai penguat kuasa kementerian akan sentiasa berada di lapangan untuk memantau dan menilai keadaan, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya dengan segera apabila diperlukan.

anta berkata pembelian panik juga akan mengundang pelbagai masalah sampingan kepada pengguna itu sendiri dan pengguna lain dari segi perbelanjaan isi rumah dan pembaziran disebabkan tarikh luput sesuatu barangan yang dibeli tanpa penelitian.

“Saya meminta semua pihak supaya kekal bertenang dan bersikap rasional. Peniaga juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan masing-masing atas pelbagai alasan,” katanya.

— BERNAMA