Foto hiasan

KUALA LUMPUR- Terdapat 354 kes baharu Covid-19 manakala sebanyak enam kematian direkodkan hari ini.

Kesemua kes kematian hari ini melibatkan kes-kes di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, Sabah terus mencatatkan kes harian tertinggi dengan 274 kes.

Ini katanya hasil pertambahan aktiviti saringan terutama di tujuh lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Manakala kes harian di Kedah menurut beliau menunjukkan penurunan kepada 10 kes sahaja hasil kejayaan mengawal penularan wabak Covid-19 di Kluster Tembok.

“Daripada 354 kes baharu hari ini, dua daripadanya adalah kes import yang melibatkan warganegara Malaysia yang baru pulang dari India dan Oman.

“Kedua-dua kes dilaporkan di Kuala Lumpur.

“Daripada jumlah 352 kes penularan tempatan, 23 adalah melibatkan individu pulang dari Sabah. Ini menjadikan jumlah keseluruha kes pulang dari Sabah setakat jam 12 tengahari tadi adalah 324,” katanya semasa sidang media yang disiarkan melalui Facebook.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan Selangor dan Sarawak masing-masing mencatatkan 10 kes baharu hari ini dengan Sarawak merekodkan tujuh kes individu pulang dari Sabah.

Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pula masing-masing mencatatkan lapan kes.

Johor dan Terengganu masing-masing mencatatkan lima kes manakala Negeri Sembilan empat kes; diikuti dua kes di Putrajaya dan satu kes di Labuan.

Hari ini terdapat 188 pesakit yang telah sembuh manakala 68 pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 25 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.- MalaysiaGazette