ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Seorang wanita kerugian wang sebanyak RM1,979,976 selepas ditipu oleh Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd.Faisal berkata, mangsa seorang pengurus di sebuah agensi perbankan telah menerima panggilan telefon mendakwa sebagai pegawai polis pada petang 5 Mei lalu.

Dalam perbualan tersebut, mangsa didakwa telah terlibat dalam kes langgar lari dan menyebabkan kematian tetapi dinafikan oleh mangsa yang berusia 50 tahun itu.

Mangsa juga dimaklumkan mempunyai rekod lampau dengan kes penggubahan wang haram dan pada masa sama menerima mesej whatsapp tentang waran tangkap yang telah dikeluarkan oleh polis kepada mangsa.

Nik Ezanee berkata, mangsa diminta untuk memberi kerjasama dengan membuka akaun bank tempatan yang baharu supaya wang di dalam akaun bank milik mangsa yang lain dipindahkan ke dalam akaun baharu itu.

Ini bertujuan untuk siasatan Bank Negara bagi mengenal pasti sama ada mangsa benar-benar terlibat atau tidak.

Pada 6 Mei, mangsa telah membuka akaun bank dan mengeluarkan semua wang hasil penjualan saham di Singapura, pinjaman peribadi, wang simpanan tetap dan penjualan polisi insurans.

Mangsa telah diminta tidak membuat sebarang semakan dengan bank dari bulan Mei hingga September 2020 bagi melancarkan siasatan yang didakwa dijalankan oleh Bank Negara.

Nik Ezanee menambah, mangsa telah dijanjikan akan menerima surat pengesahan sama ada didapati bersalah atau tidak pada penghujung bulan September atau selewat-lewatnya bulan Oktober.

“Sekiranya mangsa didapati tidak bersalah wang akan dikembalikan semula kepada mangsa. Jika sebaliknya wang tersebut akan dirampas dan menjadi milik kerajaan.

“Hinggalah pada 8 Oktober 2020, mangsa masih belum menerima surat pengesahan seperti mana yang dijanjikan,” katanya.

Mangsa telah ke cawangan bank tempatan dan membuat semakan. Dia mendapati wang berjumlah RM1,979,976 telah dikeluarkan secara berperingkat-peringkat.

Nik Ezanee mengingatkan orang ramai berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat dan tipu helah pihak-pihak tertentu.

“Jangan panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil tanpa menghubungi pihak polis dan institusi kewangan terlebih dahulu,” katanya lagi.

Orang ramai yang menerima panggilan telefon begini diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222. – MalaysiaGazette