Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan kakitangan penjara dan keluarga, anggota polis dan petugas kesihatan di Penjara Pokok Sena, Kedah hari ini.

Susulan itu,Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terpaksa dilaksanakan di kawasan Penjara Pokok Sena serta kuarters kakitangan selama 14 hari berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 24 Oktober depan.

Perintah tersebut melibatkan 3,262 tahanan dan 587 kakitangan.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh ini juga, sebarang pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

“Semua SOP yang digunakan adalah sama seperti di penjara lain yang telah ditetapkan,” katanya hari ini.

Di Sabah pula, PKPD Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan dilanjutkkan bermula hari ini sehingga 25 Oktober depan.

Ini berikutan masih terdapat kes-kes baharu positif Covid-19 direkodkan di kawasan berkenaan meskipun PKPD telah dilaksanakan sejak 26 September lalu.

“Mengambil kira penilaian risiko terhadap penularan wabak ini, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD di kawasan ini bermula 10 Oktober sehingga 25 Oktober 2020.

“Pelanjutan tempoh ini diperlukan bagi tujuan membolehkan saringan seterusnya dilakukan oleh pihak KKM,” katanya lagi.

Selain itu, kerajaan turut melanjutkan PKPD Bersyarat di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu yang sepatutnya berakhir Isnin ini kepada 26 Oktober depan.

“Oleh kerana masih terdapat kes-kes baharu yang direkodkan di kawasan tersebut, sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD Bersyarat di daerah-daerah ini bermula jam 12.01 tengah malam 13 Oktober 2020 sehingga 26 Oktober 2020.

“Bagi memperketatkan kawalan di Pantai Timur Sabah, Kerajaan  telah pun menambah jumlah anggota dan aset keselamatan untuk mengekang kedatangan PATI daripada negara jiran,” katanya.

Kerajaan juga memperkenalkan beberapa tindakan baharu di kawasan pesisir pantai ESSZONE bermula 11 Oktober ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Antaranya adalah mengawal pergerakan keluar bot-bot kecil dari pulau-pulau di perairan ESSZONE ke tanah besar termasuk pergerakan bot-bot di kawasan pesisiran pantai bagi tujuan membeli makanan dan keperluan asas.

Bot-bot berkenaan hanya dibenarkan keluar mulai jam 6 pagi hingga 2 petang sahaja.

Bagi bot-bot nelayan dan bot membawa ikan di perairan ESSZONE yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan hanya dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang (di jeti-jeti yang dibenarkan sahaja).

Kebenaran ini tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah berkenaan.

Selain itu kerajaan turut melarang aktiviti Barter Trade dan Transhipment dari semua kapal non-conventional ships (NCS) dari Indonesia dan Filipina yang memasuki perairan ESSZONE, Sabah. – MalaysiaGazette