Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 menara telekomunikasi baharu akan didirikan di Sabah di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1.

Daripada jumlah tersebut, 13 menara baharu akan didirikan di Pitas, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kampung Mengkapon telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan menara berkenaan.

Kerja-kerja pembinaan menara baharu ini telahpun dimulakan dan pada masa pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik sedang dalam proses memohon kelulusan daripada pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah sebelum kerja-kerja dimulakan di tapak-tapak yang telah dipilih.

Mengambil kira proses kelulusan, pembinaan menara dan pemasangan alat pemancar, adalah dijangkakan pembinaan menara akan siap dan beroperasi dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan.

SKMM menambah, dalam hal ini, kerjasama dari pihak Kerajaan Negeri Sabah juga amat diperlukan dari segi kelulusan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini.

”SKMM sentiasa prihatin dengan keluhan masyarakat berkaitan kemudahan telekomunikasi terutamanya di luar bandar dan melakukan usaha berterusan untuk merapatkan jurang digital di seluruh negara,” katanya.

Isu capaian Internet di Pitas pernah menjadi polemik selepas tular seorang penuntut universiti Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan Internet. – MalaysiaGazette