Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Keadaan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) Kota Kinabalu, Sabah masih terkawal walaupun 40 orang jururawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) terpaksa menjalani kuarantin.

Langkah pengasingan itu dilakukan selepas seorang jururawat di wad itu disahkan positif.

Menteri Kesihatan yang mengesahkan perkara itu meminta rakyat Sabah bertenang dan terus bersemangat dalam membendung pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette sebentar tadi, Dr Adham berkata, meskipun berdepan dengan cabaran ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memobilisasi tenaga serta kakitangan dari kawasan lain yang tidak terjejas.

“Keadaan terkawal kerana kita ada kaedah ‘mobilise’ tenaga dari lokasi lain dengan segera. Ini telah dilakukan selepas proses dekontaminasi dan sanitasi diselesaikan,” jelasnya.

Dr Adham berkata, jururawat berkenaan dipercayai kontak kepada sepupunya yang positif Covid-19.

“Hasil daripada penjejakan kontak ada seorang lagi jururawat positif dan telah di kuarantin. Sekarang ada sekitar 40 jururawat di ICU Kota Kinabalu yang sedang menjalani kuarantin.

“Kebanyakan mereka bergejala dan beberapa orang daripada mereka mempunyai kontak rapat dengan dua indeks kes tersebut,” jelas menteri itu.

Malah, Dr Adham memberi jaminan tiada apa yang perlu dibimbangkan berikutan insiden di hospital berkenaan.

“Saya harap rakyat di Kota Kinabalu bertenang, teguhkan semangat kita untuk menentang penularan ini dengan sebaik-baiknyanya,” kata beliau.

MalaysiaGazette difahamkan wad ICU di HQEII dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

Hari ini KKM memaklumkan terdapat 374 kes baru Covid-19 yang dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi dengan Sabah kekal sebagai negeri jangkitan tertinggi dengan 277 kes. – MalaysiaGazette