KLANG – Sunyi dan aman, itu perasaan sesiapa sahaja yang memasuki Kampung Kuantan di sini, walaupun kawasan ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sejak 12 tengah malam, semalam.
Meskipun penguatkuasaan PKPB melibatkan seluruh Mukim Klang, namun Kampung Kuantan antara kawasan yang dikenakan sekatan jalan raya (SJR) dan penutupan jalan sepanjang kira-kira 500 meter di Jalan Bukit Kuda, di sini.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati, orang luar termasuk petugas media tidak dibenarkan memasuki dan membuat liputan ke kampung terbabit, apatah lagi semasa pihak keselamatan membuat kawalan keselamatan di SJR.

Tiada pembelian cemas, tiada aliran trafik sesak dan tiada pelanggaran kepatuhan prosedur standard operasi (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini, meskipun terdapat lima kes positif Covid-19 dilaporkan di kawasan ini.
Namun sekali sekala terlihat beberapa individu membawa makanan dan minuman ke dalam kawasan terbabit, dipercayai waris keluarga yang berada di luar kawasan.
Difahamkan hanya ahli keluarga daripada 61 buah rumah yang berada dalam lingkungan zon merah di Kampung Kuantan sahaja dibenarkan menghantar makanan dan barang keperluan memasuki kawasan ini.
Larangan itu juga terpakai kepada perkhidmatan penghantaran makanan seperti FoodPanda dan GrabFood yang tidak dibenarkan memasuki zon merah itu.
Turut ditutup lorong-lorong tikus yang menghubungkan kampung tradisi Melayu ini dengan bandar Klang kira-kira 200 meter sahaja.
Selain kawalan akses keluar masuk kampung melalui jalan darat, pihak polis juga mengambil langkah proaktif membuat tinjauan udara dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi memantau tahap pematuhan penduduk di sini.

Selain anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, kawalan keselamatan itu turut dibantu oleh anggota tentera dan pasukan RELA yang berkawal 24 jam di SJR.
Pihak keselamatan turut mendirikan khemah tidak jauh dari lokasi SJR serta kaunter balai polis bergerak bagi memudahkan penduduk memohon kebenaran polis untuk membuat rentas daerah.
Bagi zon hijau dalam kawasan Kampung Kuantan ini, aktiviti penduduk dilihat berjalan seperti biasa seperti operasi kedai makan dan orang ramai bebas bergerak tanpa sekatan.
Walaupun Masjid Kampung Kuantan berada dalam zon hijau dan di luar lingkungan SJR, semua aktiviti keagamaan dihentikan serta-merta dan menggunakan SOP sama ketika awal PKP sebelum ini.
Bagaimanapun hanya tiga petugas masjid sahaja dibenarkan untuk bertugas sepanjang 14 tempoh PKPB ini seperti melaungkan azan dan solat lima waktu. – MalaysiaGazette
















