Seorang lelaki diiringi pegawai SPRM ketika tiba di Mahkamah Putrajaya bagi mendapatkan perintah reman bagi kes berkaitan penipuan urusan jual beli tanah. foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendapatkan perintah reman daripada Mahkamah Majistret di sini untuk menyiasat seorang Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang didakwa menerima suapan berjumlah RM345,000.

Lelaki berusia 50an itu didakwa meminta wang tersebut daripada seorang individu bergelar ‘Datuk’ sebagai balasan untuk menyelesaikan kes berkaitan penipuan urusan jual beli tanah.

Sumber SPRM memaklumkan, kes tersebut berlaku pada 2016 dan ketika itu lelaki terbabit bertugas di Jabatan Peguam Negara.

SPRM menjalankan siasatan bagi kes itu dibawah Seksyen 19 (a) (4) Akta SPRM 2000.

Seorang lelaki diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman yang didakwa meminta wang tersebut daripada seorang individu bergelar 'Datuk' sebagai balasan untuk menyelesaikan kes berkaitan penipuan urusan jual beli tanah di Mahkamah Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 10 OKTOBER 2020

Terdahulu, sekumpulan media yang menunggu sejak pukul 8 pagi tadi untuk membuat liputan permohonan reman terhadap dua individu yang disiasat oleh SPRM kerana terlibat dengan aktiviti Macau Scam dimaklumkan, lelaki yang dibawa dengan menaiki sebuah kenderaan warna hitam ke kompleks mahkamah berkenaan adalah suspek yang disiasat bagi kes itu.

Beberapa pegawai SPRM dilihat mengiringi lelaki terbabit yang tiba pukul 9.55 pagi dan kemudian dibawah terus ke Bilik Bicara Mahkamah Majistret di sini.

Bagaimanapun, selepas selesai mendapatkan permohonan reman, media dimaklumkan oleh pegawai SPRM bahawa individu terbabit bukanlah pihak yang disiasat untuk kes bagi penggubahan wang haram.

Media turut diberitahu bahawa SPRM tidak ada mendapatkan sebarang reman pada hari ini bagi kesĀ  yang dimaksudkan. – MalaysiaGazette