Alexander Nanta Linggi

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengulangi pendirian untuk tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, GPS juga sanggup menjadi pembangkang sekiranya Anwar berjaya membentuk kerajaan.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, partinya berpendirian bahawa sebagai rakan seangkatan kepada Perikatan Nasional, GPS menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Alexander memberitahu Sinchew Daily, dakwaan bahawa wakil rakyat GPS menyokong Anwar hanyalah khabar angin.

Menurut Ahli Parlimen Kapit itu, beliau sendiri hanya mengetahui desas-desus itu melalui media.

Ditanya mengenai Anwar akan menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung sokongan yang diterima, Alexander berkata, ia merupakan berita baik untuk ketua pembangkang tersebut.

Mengenai kemungkinan pilihan raya umum dan pilihan raya negeri Sarawak pula, Alexander berkata, keputusannya masing-masing bergantung kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak.

GPS pada ketika ini mempunyai 18 wakil rakyat dengan 13 daripadanya adalah daripada Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Baki lima kerusi Parlimen GPS adalah disandang wakil daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pemimpin utama SUPP, PRS dan PDP termasuk Datuk Seri Richard Riot Jaem, Tan Sri James Masing dan Datuk Seri Tiong King Sing telah menafikan sokongan kepada Anwar. – MalaysiaGazette