Sergio Romero.

LONDON – Nama Sergio Romero, Marcos Rojo dan Phil Jones telah diumumkan  tidak didaftarkan dalam 25 senarai pemain untuk skuad Liga Juara Juara Eropah Manchester United musim ini.

United sudah menghantar senarai skuad mereka menjelang aksi peringkat kumpulan menentang PSG pada bulan ini.

Romero yang menjadi penjaga gol utama United dalam pertandingan Piala Liga dan Liga Europa musim lalu telah tersisih selepas United mendaftarkan David de Gea, Dean Henderson dan Lee Grant.

Romero cemerlang membantu United mara ke separuh akhir Liga Europa musim lepas tetapi pada separuh akhir United memutuskan untuk menurunkan David De Gea.

Kegagalan Romero berada dalam pasukan ke UCL itu membuatkan isterinya, Eliana mengamuk di media sosial.

Eliana berkata, Romero bekerja keras untuk kelab ini dan membantu pasukan mara ke separuh akhir dan kemudian disisihkan ke bangku simpanan.

“Sudah tiba masanya kelab membalas balik (pengorbanan) dan melepaskannya pergi. Berilah rasa hormat hanya sekali,” luahnya.

Romero sebelum ini gagal untuk meninggalkan Old Trafford selepas kelab enggan melepaskannya secara percuma atau dengan harga lebih rendah.

Penjaga antarabangsa Argentina itu berminat menyertai Carlo Ancelotti di Everton.

Namun dua-dua pihak gagal untuk memuktamadkan perjanjian, Everton akhirnya memutuskan menandatangani penjaga gol AS Roma, Robin Olsen. – MalaysiaGazette