Gambar hiasan

JIKA kepalanya ular, takkan ekornya belut.

Itulah yang dapat dikatakan secara ringkas melihat kepada kesilapan yang dilakukan pihak tertentu dalam perihal pematuhan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Hal tersebut salah dan tiada ruang baginya untuk menafikan perkara tersebut sebaliknya diambil tindakan undang-undang sewajarnya.

Tidak kiralah pelakunya marhaen mahupun sang penguasa, keadilan yang dijunjung dalam perlembagaan negara seharusnya meletakkan hukuman yang sama terhadap mana-mana pelaku dengan pertimbangan yang sewajarnya berdasarkan keberatan situasi kesalahan yang dilakukan.

Melihat kepada kritikan dan komen yang dilontarkan masyarakat berhubung isu di atas menunjukkan sikap keprihatinan yang tinggi dan sewajarnya dipuji.

Namun kata-kata kesat dan hina yang dihamburkan oleh segelintir masyarakat membuatkan saya berasa kecewa dan hampa.

Tidak boleh dinafikan, keperitan hidup segelintir masyarakat ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu pastinya meninggalkan kesan mendalam buat kita semua, lebih-lebih lagi mereka yang dibuang kerja dan perniagaannya muflis.

Tidak kurang mahasiswa yang terpaksa meneruskan pembelajaran secara maya yang semestinya memerlukan capaian internet laju yang masih boleh diperdebatkan.

Namun itu bukanlah lesen dan kelayakan kepada kita atau mana-mana pihak untuk berlebih-lebihan dalam mengeluarkan komen dan kritikan sehingga yang keluar dan dihamburkan dengan kata-kata nista dan keji.

Jelas ini bukanlah adat dan budaya masyarakat bertamadun yang dituju bahkan jauh terpesong.

Tidaklah saya berniat menegakkan benang yang basah tetapi sekadar memberi ingat agar tidak dibakar benang yang salah.

John Locke dalam karya agungnya selepas membidas Robert Filmer telah menulis perihal kerajaan madani.

Di dalamnya beliau telah menyebut bahawa setiap manusia mempunyai hak dan kuasa namun terbatas daripada mengambil sesuatu tanpa hak atau membinasakan mana-mana manusia di tangan mereka tanpa sebab musabab yang sewajarnya.

Islam juga jelas meletakkan larangan kepada umatnya daripada melampau-lampau dalam perkara-perkara tertentu. Setiap tindakan seseorang itu seharusnya dipimpin dengan wahyu serta akal yang akhirnya diterjemahkan dalam tindakan yang penuh rasional dan menepati kehendak fitrah manusia itu sendiri.

Tidak perlu terkejar-kejar dalam mengeluarkan sebarang komen dan isu, jangan biarkan diri kita dipengaruhi semangat dan emosi semata-mata.

Berdirilah dengan penuh kesedaran atas lantai pembudayaan ilmu dan keintelektualan yang sejajar dengan nilai diri ini.

Bersikap adil dan telus, bukan kita sahaja yang menuntut ketelusan dalam pentadbiran dan pengadilan pesalah bahkan kepada diri ini turut terdapat tuntutan yang sepatutnya. adil dalam memberi kritikan dan komen, tidak perlulah kata-kata kesat digunakan.

Berkata baik atau diam.

Bersederhanalah dalam menyeimbangkan emosi dan semangat agar tidak dipergunakan oleh sesiapa, kelak membawa malu dan rugi

Islam tidak melarang kita untuk bersuara bahkan Islam sendiri telah meletakkan panduan yang murni dalam melontarkan pandangan dan kritikan agar perkara yang disampaikan membawa kepada hasil yang baik bukan hanya melempiaskan nafsu semata-mata.

Kritikan dan komen daripada rakyat buat pemimpin pasti suatu yang bernilai sekiranya direncanakan dengan ilmu dan akal yang sejahtera.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.- MalaysiaGazette

HAFIZ BABA

PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)