Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Sejumlah 23 kakitangan Tropicana Golf and Country Resort disahkan positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal yang memberitahu ketika ini kawasan resort tersebut dikawal ketat oleh kira-kira 20 anggota pasukan keselamatan yang terdiri daripada polis dan tentera.

Katanya, tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan keluar atau masuk dari kawasan tersebut yang sudah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak semalam.

“Setakat ini, 23 kakitangan Tropicana Golf and Country Resort disahkan positif Covid-19. Sebanyak pertambahan 12 kes pada hari ini (Isnin) selepas keputusan saringan didapati.

“Kami dimaklumkan seramai 567 kakitangan tinggal di asrama disediakan ini, ujian saringan akan dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula Rabu ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di resort berkenaan hari ini.

Beliau berkata, ketika ini KKM sedang membuat senarai nama terhadap kesemua mereka yang menjalankan ujian saringan Covid-19.

Ujarnya, daripada 597 kakitangan tersebut, lebih 358 orang merupakan warga asing manakal 239 lagi adalah warganegara Malaysia.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian wabak itu agar tidak menular ke kawasan lain. – MalaysiaGazette