PDRM custodial deaths death lockup police
PDRM

KUALA LUMPUR – Permohonan reman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian ditolak majistret.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid bagaimanapun berkata, pihaknya telah menahan semula individu terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes judi di Cheras.

“Permohonan reman baharu ke atas individu itu akan diminta esok bagi membantu siasatan berhubung kes itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan, polis memberkas tiga individu yang sebelum ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, media melaporkan baki sembilan tahanan reman kes siasatan pengubahan wang haram oleh SPRM termasuk dalang Macau Scam dibebaskan dengan jaminan pada petang semalam.

Bagaimanapun, lapan daripada mereka ditahan semula oleh JSJ Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan seramai 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China selain akan membuat beberapa siri tangkapan lain.

Setakat ini, SPRM sudah membekukan lebih RM80 juta daripada 730 akaun bank dan menyita wang tunai berjumlah RM5 juta.

SPRM turut merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

Sindiket cuci duit itu dipercayai melaburkan wang daripada aktiviti kegiatan berkenaan ke dalam perniagaan yang dijalankan oleh selebriti dan personaliti terkenal tanah air serta usahawan kosmetik tempatan. – MalaysiaGazette