Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan enam kluster baharu Covid-19 dengan dua daripadanya di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memaklumkan perkara itu berkata, keempat-empat kluster dikesan di Sabah, Selangor, Johor dan Putrajaya.

Beliau berkata, kluster baharu di Kuala Lumpur iaitu Kluster Baiduri melibatkan daerah Hulu Langat, Selangor dan
Cheras, di Kuala Lumpur.

“Untuk Kluster Bah Perdana pula kluster baharu ini telah dikenal pasti di Cheras dan hasil saringan individu terbabit pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 28 September dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lapan lagi kes positif
Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Noor Hisham, kluster baharu yang ditemui di Sabah iaitu Kluster Kolong di daerah Keningau telah mengenal pasti kes ke 13,548 yang mempunyai kontak rapat dengan tujuh lagi individu yang turut positif Covid-19.

Bagi kluster Bah Tropicana di Selangor pula, kes indeks bagi kluster itu iaitu kes 11,804 yang turut pulang dari Sabah dengan menjangkiti seramai 13 kontak rapat yang dikesan positif wabak tersebut.

Sementara, Kluster Rinting di Johor ia melibatkan daerah Melaka Tengah di Melaka dan Johor Bahru.

Di Putrajaya iaitu di Kluster Baiduri ia melibatkan beberapa buah daerah iaitu Seremban, Cheras dan Putrajaya, Kuala Lumpur, Putrajaya, Klang, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat.

Kes indeks bagi kluster itu melibatkam kes ke 12,553 yang dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 24 September lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan.

Ujarnya, saringan kontak rapat telah mengesan seramai 17 lagi individu positif.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM.

Jelasnya, orang ramai perlu menjadikan nasihat-nasihat itu sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian. – MalaysiaGazette