Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan untuk melantik secara kontrak sejumlah 1,899 petugas kesihatan lagi, bagi tujuan menyokong perkhidmatan kesihatan dalam tempoh penularan wabak Covid-19.

Antara petugas kesihatan sokongan tambahan yang dipohon adalah Pegawai Penyelidik, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Juruteknologi Makmal Perubatan dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi dan Kewangan).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, permohonan telah dikemukakan pada 9 Oktober 2020 selaras dengan persetujuan kerajaan agar kementerian itu dipertimbangkan untuk menambah petugas kesihatan kepada sejumlah 2,000 lantikan secara kontrak seperti yang telah diluluskan oleh kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin sebelum ini.

Selain daripada ditempatkan di fasiliti kesihatan seperti di hospital, klinik kesihatan, makmal, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), petugas kesihatan ini juga akan ditempatkan di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara dan ditugaskan di Pintu-pintu Masuk Antarabangsa Negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur agar urusan keluar dan masuk di Pintu-pintu Masuk Antarabangsa dapat diuruskan dengan lebih lancar dan berkesan.

Menurutnya, kerajaan telah pun mengambil langkah segera bagi mengawal penularan wabak ini, antaranya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri dan lokaliti yang berkenaan.

Di peringkat Kementerian Kesihatan, antara langkah awal yang telah diambil adalah mobilisasi petugas kesihatan sedia ada dari negeri dan fasiliti kesihatan tertentu bagi membantu negeri atau fasiliti kesihatan yang memerlukan tambahan sumber manusia kesihatan. – MalaysiaGazette