Ketua Penerangan Parti Kemajuan Malaysia (PAM), Mathavan Velayutham (dua kiri) bersama Pengurusi Persatuan Keturunan India Kelantan Semalaysia (SOKMO), N. Doraraj (dua kanan) dan Pengurusi Persatuan Warisan Masyarakat India Kerilla Tanah Merah Kelantan (Kerilla Vamsawali Sangam), S. Kumaresan (kiri) bercakap bergambar pada sidang media berkaitan isu masalah penduduk ladang Kerilla di Kelantan yang diarah keluar oleh pemilik ladang di Menara Sentral Vista, Brickfields, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 12 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pemilik Ladang Kerilla di Tanah Merah, Kelantan iaitu KL Kepong Berhad diseru supaya menggunakan budi bicara menarik balik notis pengosongan rumah yang dikeluarkan terhadap 14 keluarga masyarakat India daripada 70 keluarga generasi pertama dan kedua yang menetap di ladang tersebut.

Pengerusi Persatuan Warisan Masyarakat India Ladang Kerilla, S. Kumaresan berkata, notis pertama arahan mengosongkan rumah yang diuruskan ladang itu dikeluarkan pada 4 September lalu bagaimanapun berjaya dipujuk dan dilanjutkan sehingga 18 Oktober ini.

Bagaimanapun katanya, memandangkan kebanyakan mereka tidak mampu mencari kediaman baharu dan berdikari dari segi kemampuan kewangan lebih lebih lagi musim Covid-19, pemilik ladang dirayu menarik semula notis pengosongan itu sehingga pandemik itu selesai.

“Kesemua penerima notis daripada 70 keluarga yang masih menetap dan bekerja di ladang berkenaan tidak ada mata pencarian disebabkan sudah bersara dan ditamatkan kontrak selepas usia 60 tahun dan mereka yang seorang dua masih bekerja kontrak untuk upah harian.

“Kami sekarang cuma menyeru jasa dan budi bicara pihak pemilik ladang KL Kepong Berhad supaya prihatin dengan kesusahan penduduk serta bekas pekerjanya dengan menyelesaikan masalah secara holistik.

“Kami mohon pemaju menyediakan pampasan dalam bentuk wang, sebidang tanah atau perumahan kos rendah sebagai menghargai sumbangan pekerja dan juga bekas pekerja di sini yang telah mencurahkan titik peluh mereka untuk pembangunan ladang itu,’ katanya dalam sidang media khas di Menara Sentral Vista, Brickfields hari ini.

Kumaresan juga meminta pihak pemaju berkenaan supaya mempertimbangkan permohonan pihaknya untuk mencari satu titik penyelesaian bagi menjamin sinar kehidupan generasi muda yang juga pewaris warga berusia sehingga 96 tahun yang masih hidup di sana.

“Anak saya generasi keempat di sini masih belajar di SMK Ladang Kerilla dan kebergantungan mereka semuanya termasuk mati terkubur di ladang sama dan itulah realiti kehidupan mereka di sini,'” ujarnya.

Sementara itu, menurut V. Mathavan yang merupakan Ketua Penerangan Parti Kemajuan Malaysia (MAP), kebanyakan penduduk India di ladang berkenaan merupakan generasi pertama dan kedua sehinggalah generasi keempat yang masih bekerja di ladang itu secara kontrak tahunan.

Katanya, generasi pertama kebanyakan mereka sudah berusia 60 tahun dan ke atas telah bersara dan kini diminta meninggalkan perumahan itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Keturunan India Kelantan Se-Malaysia (Sokmo), N. Doraraj berkata, pendapatan pekerja ladang berkenaan tidak seberapa dan mahu pemaju prihatin dan menyediakan tanah atau rumah kos rendah asas untuk penduduk berkenaan.

“Sekarang baru 14 keluarga menerima notis dan yang menyedihkan mereka buta huruf dan tidak erti memahami kandungan surat notis pengosongan itu pun dan hanya faham selepas diterangkan oleh pengurusan ladang sebelum bersetuju.

“Namun kami rayu pemaju supaya jangan buat apa-apa dan tangguhkan hasrat itu sehingga pandemik Covid-19 selesai sepenuhnya.Tahun depan ada lagi yang sudah bersara akan diminta keluar dari ladang ini, tapi kami tidak mahu ia berlaku.

“Jika lihat beberapa ladang berjiran dengan kami telah ditawarkan rumah tetap atau pampasan cuma untuk Ladang Kerilla dilambatkan,saya tidak tahu apa permasalahannya, tapi kami rayu pemilik tanah supaya pertimbangkan permohonan kami dengan ambil kira kemiskinan hidup.

“Selain tanah, harap tapak perkuburan serta rumah ibadat yang sudah ada di sini juga turut dikekalkan terus demi manfaat masyarakat India dan keluarga mereka di sini,” katanya.

Menurutnya perkara ini telah dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia dan juga Ahli Parlimen Tanah Merah namun masih menunggu maklum balasnya daripada kedua-dua pihak.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Memang kesihan.. Tapi secara lojiknya.. X kan keje kat situ terus dapat menetap kat rumah hak majikan untuk selamanya… . Bukankah rumah itu jika dikosongkan untuk kebajikan pekerja baru jugak?? Serupalah kalau dirikan kuil kat tanah orang.. Akhirnya payah nak pindah…

Comments are closed.