Bekas CEO syarikat dituduh pecah amanah menyebabkan kerugian lebih RM31 juta untuk syarikatnya di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 Shah Alam pagi tadi.

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat dituduh dengan dua pertuduhan pecah amanah iaitu membeli 20,000 unit tablet industri tanpa kelulusan syarikat yang membawa kerugian berjumlah lebih AS$$7,608,308.34 atau RM31,612,521.15.

Tertuduh Her Chor Siong, 48, yang berasal dari Bandar Sungai Long, Kajang didakwa melakukan kesalahan itu semasa berada dalam jawatannya di Cuscapi Berhad antara tahun 2016 dan 2018 lalu.

Mengikut fakta pertuduhan pertama, Chor Siong didakwa membeli 10,000 unit tablet komputer jenis Rev Industrial Tablet Type CX1000-A102S dengan kadar AS$$582 (RM2,418.21) seunit tanpa pernah mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah, yang mana perbezaan kenaikan harga seunit sebanyak AS$$301 (RM1,250.65) berbanding daripada harga asal AS$$281(RM1,167.56).

Akibat pembelian lebih harga itu, tertuduh didakwa mengakibatkan kerugian syarikat sebanyak AS$$1,218,525.34 (RM5,061,399.12).

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 1 Oktober 2016 di Level 1, Blok B, Peremba Square Saujana Resort, Seksyen U2, Shah Alam.

Manakala dalam pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa menggunakan kedudukan jawatannya dengan curang membeli sebanyak 10,000 unit Rev Industrial Tablet Type CX1000-A102S dengan harga AS$$582 (RM2,418.21) seunit, juga tidak pernah  mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Cuscapi Berhad, menyebabkan kerugian salah sebanyak AS$6,389,783 atau RM26,542,609.95 juta.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan juga denda.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 1 Oktober 2016 dan 9 April 2018 di alamat yang sama di Shah Alam.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah untuk kedua-dua tuduhan itu dan memohon kes dibicarakan selepas kertas pertuduhan di bacakan oleh jurubahasa.

Dalam pada Timbalan Pendakwa raya SPRM, Allan Suman Pillai dibantu Maziah Mohaide mencadangkan wang jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan meminta menyerahkan pasport di mahkamah.

Peguambelanya Rueban Kumar bersetuju dengan cadangan itu tanpa sebarang bantahan.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin dengan wang jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dibenarkan memohon sekiranya terdapat urusan ke luar negara.

Mahkamah menetapkan 27 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes. -MalaysiaGazette